Tema gereja pada tahun ini adalah 'Tahun Penyusunan Semula Untuk Penugasan Baru' membawa banyak makna kepada kita. Apakah yang dimaksudkan penyusunan semula? Apakah perkara yang perlu kita susun semula di dalam kehidupan kita. Jikalau kita melihat di dalam Matius 25:33, akhir zaman akan dipisahkan dua golongan iaitu domba dan kambing. Jikalau dilihat kedua-dua haiwan ini hampir sama tetapi memiliki sifat yang berbeza. Perbezaan yang nyata adalah domba memerlukan gembala tetapi kambing tidak memerlukan gembala.
Dalam kita menerima penugasan semula dalam kehidupan kita, kita perlu menyusun terlebih dahulu bagaimana cara kita hidup pada masa sekarang. Tuhan mahukan kita keluar dari zon keselesaan kita yang kita suka pertahankan pada hari ini. Jelas sekali bahawa, sukar untuk kita melepaskan zon keselesaan yang kita alami. Tetapi Tuhan mahukan kita untuk terus maju ke depan dan keluar daripada kotak keselesaan kita. Hidup dalam kotak keselesaan memang seronok tetapi jikalau kita terus tinggal di kotak keselesaan kita tidak akan mengenal erti bergantung kepada Tuhan sepenuhnya. Mengapa? Ini kerana hanya dengan keluar daripada zon keselesaan kita akan berasa tidak selamat, takut, risau tetapi Tuhan berfirrman dalam Yesaya 41:10, janganlah takut sebab Aku menyertai engkau. Hanya dengan melangkah keluar daripada zon keselesaan kita mampu mengalami kuasa dan penyertaan Tuhan dalam kehidupan kita. Hanya dengan melangkah keluar kita akan melihat mukjizat berlaku dalam kehidupan kita. Hanya dengan melangkah keluar kita akan mengakui bahawa penyertaan Tuhan nyata dalam setiap aspek kehidupan kita. Percayalah, murid-muridNya telah belajar untuk keluar daripada zon keselesaan mereka dan mengikut Yesus. Akhirnya, mereka mengalami banyak perkara yang luar biasa apabila mereka mula melangkah bersama Yesus.
Oleh itu, sebelum melangkah keluar beberapa perkara yang harus kita semak dan susun semula dalam kehidupan kita iaitu:
- Perhubungan kita dengan Tuhan
- Sejauh manakah perhubungan kita dengan Tuhan pada saat ini? Adakah sekadar kita 'berkawan rapat' sahaja dengan Tuhan. 'Berkawan rapat' sahaja tidak cukup. Yesus memanggil gerejaNya sebagai pengantin perempuan dan jelas menunjukkan bahawa Yesus mahukan saat 'percintaan' dengan kita. Ya, Dia mahukan agar kita menjadi kekasih Dia. Kekasih perlu sentiasa berhubung, berSMS, berbual dan memiliki saat indah bersama setiap waktu.
- Kehidupan kita
- Tuhan mahukan kehidupan kita menjadi cermin akan Dia. Adakah kita mencerminkan sifat-sifat Tuhan pada hari ini. Tuhan adalah kudus, lemah lembut, mengampuni, mengasihi, sentiasa hidup dalam kebenaran dan tidak berkompromi dengan dosa. Jadi, untuk menjadi cermin Yesus, adakah kehidupan kita memiliki ciri-ciri pengenalan akan Kristus? Adakah kita kudus, lemah lembut, suka mengampuni, sentiasa mengasihi, sentiasa hidup dalam kebenaran dan tidak berkompromi dalam dosa?
- Pelayanan kita
- Adakah pelayanan yang kita lakukan setiap hari, bulan dan tahun memberikan impak kepada orang lain. Atau adakah kita melayani kerana kita mahukan pujian untuk kita sendiri? Atau kita memiliki banyak masa? Atau kita rasakan bahawa kita amat berbakat dan harus ada platform bagi menunjukkan bakat kita? Mari kita lihat apa yang Yesus katakan dalam Matius 25:34-40 "Dan Raja itu akan berkata kepada mereka yang di sebelah kanan-Nya: Mari, hai kamu yang diberkati oleh Bapa-Ku, terimalah Kerajaan yang telah disediakan bagimu sejak dunia dijadikan. Sebab ketika Aku lapar, kamu memberi Aku makan; ketika Aku haus, kamu memberi Aku minum; ketika Aku seorang asing, kamu memberi Aku tumpangan; ketika Aku telanjang, kamu memberi Aku pakaian; ketika Aku sakit, kamu melawat Aku; ketika Aku di dalam penjara, kamu mengunjungi Aku. Maka orang-orang benar itu akan menjawab Dia, katanya: Tuhan, bilamanakah kami melihat Engkau lapar dan kami memberi Engkau makan, atau haus dan kami memberi Engkau minum? Bilamanakah kami melihat Engkau sebagai orang asing, dan kami memberi Engkau tumpangan, atau telanjang dan kami memberi Engkau pakaian? Bilamanakah kami melihat Engkau sakit atau dalam penjara dan kami mengunjungi Engkau? Dan Raja itu akan menjawab mereka: Aku berkata kepadamu, sesungguhnya segala sesuatu yang kamu lakukan untuk salah seorang dari saudara-Ku yang paling hina ini, kamu telah melakukannya untuk Aku."
Marilah kita melihat balik diri kita dan menyusun semula untuk kita menerima penugasan semula daripada Tuhan. Waktu semakin dekat dan kita tidak mahu menjadi kambing seperti apa yang telah dikatakan oleh Yesus dalam perumpamaan ini.
:: Sekadar renungan yang telah Roh Kudus nyatakan kepada saya ::
|
Gambar Tema Diambil Daripada www.grace-intl.com
|